Video yang menunjukkan pemain tengah Terengganu, Liridon Krasniqi jatuh dari pengusung ketika perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2023 menentang Kuala Lumpur City mendapat perhatian media antarabangsa.

Salah satu media ternama yang mempunyai jutaan pengikut di laman media sosial X iaitu Out Of Context Football memuat naik video tersebut sekaligus mendapat tontonan dari seluruh dunia.

Ada pengguna yang memuji aksi membuang masa yang dilakukan Liridon Krasniqi dengan sengaja menjatuhkan diri ketika dibawa dalam pengusung untuk menerima rawatan di luar.

berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Jumaat lalu, dua jaringan dari Ivan Mamut sudah cukup untuk membawa Terengganu melangkah ke perlawanan akhir dan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT).

Mamut membuka tirai jaringan pada minit ke-42 dimana beliau melakukan ‘turning’ yang cukup baik sekaligus melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gol lawan, Kevin Ray Mendoza.

Kelebihan itu dipadamkan KL City pada minit ke-51 selepas Romel Morales menanduk masuk bola hantaran Haqimi Azim Rosli yang terlebih dahulu membias terkena kaki pertahanan tuan rumah.

Mamut terus membuktikan kemampuan hebat dimilikinya ketika aksi memasuki minit ke-67 apabila rembatannya dari luar kawasan penalti sekali lagi gagal diselamatkan Mendoza.

Meskipun kedua-dua pasukan meneruskan aksi bertenaga selepas jaringan tersebut, kedudukan 2-1 kekal memihak Terengganu untuk membawa mereka ke perlawanan akhir.

Berdasarkan rekod, Terengganu pernah bergelar juara Piala Malaysia edisi 2001 manakala lima kali muncul selaku naib juara.